Saturday, October 19, 2013

KEDUDUKAN HAID SEBELUM KEDATANGAN ISLAM

Bismillahirrahmanirrahim (Rujukan soal jawab agama mengenai darah wanita bersama Ustaz Mansoor Al-Hafiz dalam buku Haid, Istihadah & Nifas)

 Soalan no.9
Ada orang menganggap haid sebagai suatu kehinaan. Kaum wanita selalunya akan malu-malu jika ada kaum lelaki tahu dia didatangi haid. Boleh ustaz jelaskan mengenai perkara ini?

 Jawapan
Haid bukanlah satu perkara yang mendatangkan keaiban atau kehinaan bagi kaum hawa, bahkan ia merupakan suatu tanda kebaikan yang menunjukkan seseorang wanita itu berada dalam keadaan sihat. 

Tetapi kaum Yahudi dan Nasrani memandang haid sebagai suatu perkara yang mengaibkan. Mereka bersikap melampau dalam perkara ini. Kaum Yahudi bertindak menyisihkan kaum perempuan mereka semasa waktu haid dengan mengasingkan tempat tinggal mereka dan tidak makan bersama-sama mereka. 

Manakala golongan Nasrani pula mengambil sikap tidak menghiraukan waktu haid. Mereka bersetubuh dengan isteri mereka walaupun semasa waktu haidnya dan tidak mempedulikan darah haid yang keluar. 

Apabila kita melihat pandangan Islam mengenai haid, kita akan mendapati ajaran Islam adalah sederhana dan menepati fitrah semulajadi manusia, tidak terlalu ekstrim seperti kaum Yahudi dan tidak pula mengambil mudahseperti kaum Nasrani.

Ia dapat dibuktikan dari beberapa perkara:
 (1) Para sahabat r.a telah bertanya kepada Nabi Muhammad S.A.W mengenai perkara itu, lalu Baginda bersabda: 'Kamu boleh melakukan apa sahaja (ketika datang haid)kecuali bersetubuh'.

 Menurut Syeikh Imam Muhammad Razi Fakhruddin di dalam kitab tafsirnya iaitu Tafsir Fakrur-Razi yang lebih dikenali dengan Tafsir Kabir pada mentafsirkan ayat 222, surah Al-Baqarah:

 Tatkala turun ayat tersebut iaitu mereka terikut-ikut dengan cara kehidupan orang-orang Yahudi di Madinah. Mereka telah mengasingkan wanita ketika haid dengan cara mengeluarkan perempuan-perempuan yang haid daripada rumah dan melakukan beberapa tindakan yang keterlaluan sepertimana yang telah dilakukan oleh golongan Yahudi.
 Ada juga dikalangan mereka yang terikut-ikut dengan cara kehidupan golongan Nasrani yang tidak ada pantang larang dalam masalah haid.

 Maka tidak lama kemudian beberapa orang lelaki Arab telah datang berjumpa dengan Nabi S.A.W dan telah berkata: 'Wahai rsulullah, cuaca telah menjadi sangat sejuk sedangkan kami kekurangan pakaian. Jika keadaan ini berterusan, keseluruhan ahli rumah (perempuan) kami yang kedatangan haid akan mati kesejukan'.

 Nabi S.A.W pun menjawab (mafhumnya): 'Aku hanya menyuruh kamu menghindarkan diri daripada berjimak dengan isteri-isteri kamu ketika mereka kedatangan haid dan aku tidak menyuruh kamu mengeluarkan mereka daripada rumah atau melakukan perkara-perkara lain sepertimana yang dilakukan oleh Yahudi dan Nasrani'.

 Apabila orang Yahudi mendengar perkara tersebut, mereka berkata: 'Lelaki ini (yakni Nabi S.A.W) ingin meninggalkan amalan (urusan) kita dan menyalahi kita'.

 Menurut keterangan Ibnu Kathir rah.: Apabila Nabi S.A.W selesai membaca ayat 222, surah Al-Baqarah, baginda S.A.W bersabda: 'Kamu boleh melakukan apa sahaja melainkan bersetubuh' (...seperti keterangan yang telah lalu).

 (2) Seorang perempuan yang meninggalkan sembahyang ketika haid dengan niat menjunjung perintah Allah SWT (kerana sembahyang diharamkan ke atas wanita yang berhaid) akan diberi ganjaran atas niatnya itu. Ini merupakan suatu kemuliaan untuk mereka.

No comments: