Monday, October 10, 2011

6 jenis Wanita yang Malang

Pesanan untuk lelaki...

Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang ANANAH, yang MANANAH dan yang HANANAH, dan jangan engkau kahwini yang HADAQAH, yang BARAQAH dan yang SYADAQAH.

1. Wanita ananah: Banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

2. Wanita mananah: Suka membangkit-bangkit terhadap suami. Wanita ini sering menyatakan, 'aku membuat itu keranamu'.

3. Wanita hananah: Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

4. Wanita hadaqah: Melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

5. Wanita baraqah: Ada 2 makna; 1. yang sepanjang hari mengilatkan dan menghiaskan mukanya, 2. dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkan bahagiaannya.

6. Wanita syadaqah: Banyak cakap tidak menentu lagi bising.


Semoga Allah s.w.t jauhi dan pelihara saya dan wanita sekelian dari sifat2 sedemikian. Amin..

Keistimewaan Wanita

Bismillahirrahmanirrahim.. (Rujukan majalah Hidayah, Dec 2005, m.s 34)

1. Doa wanita itu lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w akan hal tersebut, jawab Baginda, 'Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.'
2. Wanita yang solehah itu lebih baik daripada 1000 lelaki yang soleh.
3. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Dan orang yang takutkan Allah s.w.t akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.
4. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah s.a.w) di dalam syurga.
5. Barangsiapa membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya) maka pahalanya seperti melakukan amalan bersedekah.Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.
6. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
7. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta sikap bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.
8. Apabila memanggil olehmu kedua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.
9. Daripada Aisyah r.a, 'Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.
10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutuplah pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pun pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.
11. Wanita yang taat pada suaminya, maka semua ikan-ikan di laut, burung-burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga solat dan puasanya.
12. Aisyah r.a berkata, 'Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?' Jawab Rasulullah s.a.w, 'Suaminya.' 'Siapa pula berhak terhadap lelaki?'Jawab Rasulullah s.a.w, 'Ibunya.'
13. Wanita apabila solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta kepada suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.
14. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t memasukkan dia ke dalam syurga terlebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).
15. Apabila seorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t mencatatkan baginya setiap hari dengan 1000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1000 kejahatan.
16. Apabila seorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.
17. Apabila seorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.
18. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.
19. Apabila semalaman seorang ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah s.w.t.

Tuesday, May 24, 2011

Larangan menzahirkan kemiskinan dengan meminta-minta

Bismillahirrahmanirrahim... Rujukan buku Fadhilat Sedekah Jilid 1&2 m.s 634.

Baginda Rasulullah saw bersabda bahawa sesiapa yang menghadapi kelaparan (kemiskinan) dan ia menzahirkan hal itu kepada manusia, maka kelaparannya tidak akan dijauhkan dan sesiapa yang membentangkan hal kelaparannya di hadapan Allah (dan memohon kepadaNya) maka Allah cepat akan kurniakan rezeki kepadanya, mungkin serta merta atau sedikit lambat.

Keterangan:

Sesiapa yang meminta-minta dari orang tidak akan terlepas dari kemiskinan dan kelaparan. Maksudnya, keperluannya tidak akan dipenuhi. Jika hari ini untuk satu keperluan ia meminta-minta dari orang dan rupa-rupanya keperluan itu sudah dipenuhi maka esok hari dia akan menghadapi keperluan yang lebih besar dan keadaannya berhajat akan berkekalan. Jika ia angkat tangan untuk meminta dari Allah maka keperluan yang berkenaan akan dipenuhi dan keperluan yang lain tidak akan dihadapinya ataupun jika ia menghadapi apa-apa hajat yang lain maka serta merta Allah swt akan menyelesaikannya juga.

Di dalam sebuah Hadith yang lain mengenai perkara ini telah dinyatakan begini, iaitu sesiapa yang membentangkan kemiskinan dan hajat sendiri di hadapan Allah, maka Allah swt akan segera menjauhkan kemiskinannya -- baik dengan kekayaan yang segera ataupun kematian yang segera. Kematian yang segera ada 2 maksud:
1. Kematiannya sendiri yang mana sebelum menderita kelaparan dan kesusahan ia mati, bererti kesemua kesusahan pun berakhir beserta dengan kematiannya.
2. Kematian orang lain yang akan menjadi asbab kekayaannya. Disebabkan kematian yang sedemikian ia akan memperolehi sebahagian dari hartanya sebagai waris ataupun orang yang mati itu semasa meninggal dunia telah berwasiat agar sekian sekian bahagian dari hartanya diberi kepada si anu (iaitu orang yang di dalam keadaannya susah telah hanya memohon kepada Allah sahaja).

Kisah Pengajaran BURUNG & ULAR YANG BUTA

'Kurd' adalah nama satu kabilah. Salah seorang ahli kabilah tersebut adalah seorang perompak yang termasyhur. Dia telah menceritakan peristiwa mengenainya sendiri seperti berikut:
'Satu ketika aku bersama rakan-rakan sedang berjalan untuk merompak di satu tempat. Di dalam perjalanan kami telah berehat di satu tempat di mana ada 3 batang pohon buah tamar -- dua yang hidup dan berbuah, satu daripadanya kering. Aku melihat seekor burung berkali-kali ambil buah tamar yang segar daripada pokok-pokok yang hidup dan membawanya ke pokok yang kering tersebut. Melihatnya aku hairan, sekurang-kurangnya sepuluh kali aku melihat burung tersebut membawa buah tamar di atas pokok yang kering. Aku ingin melihat apakah burung itu buat dengan buah tamar di atas pokok kering itu. Maka akupun menaiki pokok kering tersebut. Sampai ke puncaknya aku melihat seekor ular yang buta menunggu di situ sambil membuka mulutnya. Aku memahami bahawa burung tersebut membawa buah tamar yang segar dan meletak di mulut ular yang buta tersebut. Melihat keadaan itu aku menerima pengajaran yang begitu besar, sehingga aku mula menangis dan berkata: 'Tuhanku! Nabimu saw telah memerintahkan untuk membunuh ular. Tetapi apabila seekor ular yang sedemikian menjadi buta dan tidak mampu mencari rezeki, maka engkau menggunakan burung untuk sampaikan rezeki kepadanya. Padahal aku hambaMu yang berikrar tauhid kepada Engkau; alangkah sesalnya, Engkau membuat aku merompak orang!'Maka aku telah diilhamkan, 'Pintuku untuk bertaubat telah terbuka'. Pada ketika itu juga aku telah mematahkan pedangku yang aku gunakan untuk merompak harta benda orang. Lalu aku mula menjerit,'Ampunilah dosaku, ampunilah dosaku'. Maka aku telah mendengar satu suara berbunyi,' Aku sudah mengampunkan dosamu wahai hambaKu, Aku sudah mengampunkan dosamu'. Apabila aku sampai kepada kumpulan rakan-rakan, mereka semua hairan dan mereka bertanya, 'Apakah yang sudah berlaku kepada engkau?' Aku menjawab,'Aku telah menjadi sesat dan derhaka kepada Tuhan. Kini aku berdamai dengan menyerah diri.' Selepas itu aku telah menceritakan keseluruhan peristiwa tadi. Maka kesemua rakan-rakanku juga mematahkan senjata-senjata mereka yang digunakan untuk merompak sambil berkata:'Kami juga berdamai dengan menyerah diri.' kami telah meninggalkan kesemua harta yang telah kami rompak sekian lama, memakai kain ihram lalu mula berjalan ke arah Makkah. Setelah berjalan selama 3 hari kami telah sampai ke satu kampung di mana kami menemui seorang wanita yang tua dan buta. Dia telah bertanya dengan menyebut namaku samada di dalam rombongan kami ada sesiapa ahli Kurd yang bernama itu. Rakan-rakanku telah menjawab, 'Ada'. Maka dia keluarkan satu bungkusan pakaian lalu sambil memberinya kepada kami dia berkata: 'Sudah 3 hari anakku meninggal dunia. Ini adalah pakaian dia. Setiap malam setelah ia meninggal dunia aku bermimpi Baginda Rasulullah mengarahkan aku supaya aku memberi semua pakaian Allahyarham anakku kepada ahli Kurd yang bernama ini. Ahli kurd tersebut berkata, kami semua telah memakai pakaian itu.

Di dalam kisah ini kedua-dua perkara tersebut memberi pengajaran: iaitu ular yang buta diberi rezeki oleh Allah swt melalui burung dan pemberian pakaian kepada perompak yang bertaubat dari pihak Rasulullah saw. Apabila Allah swt ingin membantu sesiapa maka amat mudah bagiNya untuk menyediakan asbab. Sebab Dialah yang mencipta semua asbab-asbab kekayaan serta asbab kemiskinan. Dengan berkat taubat yang sungguh-sungguh menerima pakaian dari pihak Rasulullah saw juga satu kemuliaan yang besar. Peristiwa ini juga merupakan satu contoh bagaimana kekayaan diperolehi dengan kematian yang cepat.

Sunday, January 30, 2011

KEHARUSAN MEMINTA IZIN SEBELUM MEMASUKI RUMAH ORANG LAIN

Bismillahirrahmanirrahim.. (Rujukan buku 'Hijab Memelihara Kesucian Wanita Muslimah')-'Muka surat 91-93.'-

Dalam keadaan tertentu , wanita seringkali mengenakan pakaian tidak menutup aurat didalam rumahnya kerana menganggap tidak ada lelaki asing bukan mahram di sekitarnya . Inilah sebabnya mengapa syariat Islam memerintahkan kita sebelum memasuki rumah orang lain .

Dari Atha bin Yasar r.a meriwayatkan, 'Suatu ketika seseorang datang menghadap Rasulullah s.a.w dan berkata , 'Ya Rasulullah, apakah saya harus minta izin meskipun kepada ibu saya sendiri sebelum memasuki rumahnya ?" Rasulullah s.a.w menjawab, " Mintalah izin kepadanya ." Orang tu bertanya, "sesungguhnya saya berkhidmat kepadanya." Rasulullah s.a.w bersabda, " Mintalah izin kepada ibumu sebelum masuk rumah. Apakah kamu suka melihatnya dalam keadaan telanjang?" ' Tidak," jawabnya. Nabi s.a.w bersabda " Mintalah izin kepadanya." (Muwatta' Imam Malik m/s.276)

Jika kita diperintahkan untuk meminta izin kepada ibu kita sendiri sebelum memasuki rumahnya, maka untuk meminta izin kepada orang lain sebelum memasuki rumah-rumah mereka adalah lebih utama .

Sebenarnya meminta izin sebelum memasuki rumah orang lain merupakan sebahagian dari perintah untuk menjaga hijab. Jika seseorang begitu sahaja masuk ke dalam rumah orang lain tanpa sebarang keizinan,maka amat sukar untuk menjaga tuntutan memakai hijab di dalam rumah tersebut. Itulah sebabnya terdapat perintah yang sangat tegas dalam hadis tersebut.

Abdullah bin Busr r.a meriwayatkan bahawa Nabi bersabda, "Apabila seseorang pergi mengunjungi seseorang, janganlah ia berdiri tepat di depan pintu, ia dapat melihat segala isi rumah jika pintu dibuka oleh kerana itu Rasulullah s.a.w melarangnya.
Dalam hadith lain Rasulullah s.a.w bersabda:Barangsiapa mengintip ke dalam rumah sebelum diberi izin untuk masuk ke dalam, maka sesungguhnya ia tidak meminta izin.(Hadis diriwayatkan oleh Daud)

Abu Hurairah r.a melaporkan bahawa Nabi s.a.w bersada, "Tidaklah kamu bersalah jika seseorang mengintip ka dalam rumahmu tanpa izin dan kamu memukulnya mengunakan batu dan mencederai matanya." (Hadis Riwayat Bukhari,Muslim)

Anas r.a bercerita bahawa suatu ketika seorang badwi datang untuk mengunjungi Nabi s.a.w dan mengintip ke dalam rumah baginda melalui lubang pintu.Ketika Rasulullah s.a.w melihatnya, baginda mengambil tongkat besi atau tongkat kayu dan menghulurkan kearah lubang pintu agar menusuk mata orang badwi itu.Ketika ia melihat hal ini, ia mundur ke balakang. Rasulullah bersabda,"Jika kamu tidak mundur, nescaya aku akan mencederai matamu."(Hadis diriwayatkan Nasa'i)

Sahl bin sa'ad r.a meriwayatkan bahawa suatu ketika Rasulullah s.a.w sedang menyikat rambut di dalam rumahnya.Ketika itu seseorang datang dan mengintip dari lubang pintu.Nabi s.a.w bersaba kapadanya,"Jika saya tahu sebelumnya bahawa kamu sedang mengintip,nescaya saya sudah melampar matamu dengan anak panah.(Hadis diriwayatkan Bukhari,Muslim)

Kewajiban meminta izin sebelum memasuki rumah orang lain dimaksudkan untuk mencegah tamu agar tidak melihat secara bebas didalam rumah.