Tuesday, April 8, 2008

FADHILAT ZIKIR- hadith 6

Bismillahirrahmanirrahim, sekadar untuk peringatan, dipetik dari kitab Fadhilat Amal [fadhilat zikir m/s 34].
Hazrat Abu musa r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, "Sekiranya seseorang di sisinya terdapat wang yang banyak lalu dia membahagikan wang tersebut (pada jalan Allah S.W.T) dan seorang lagi sedang sibuk dengan berzikir maka yang berzikir itu lebih afdal.[Hadith riwayat Imam Tobarani.]
Keterangan
Sungguhpun membelanjakan harta pada jalan Allah S.W.T adalah satu amalan yang besar, namun jika dibandingkan dengan zikrullah maka zikrullah lebih afdal. Alangkah berbahagianya para hartawan yang membelanjakan harta kekayaannya pada jalan Allah S.W.T dan di samping itu mendapat taufik untuk berzikir kepada Allah S.W.T. Disebut dalam sebuah hadith bahawa Allah S.W.t juga menyedekahkan kepada hambaNya pada setiap hari dan mengurniakan sesuatu kepada mereka mengikut keadaan mereka itu. Namun begitu, tidak ada kekurniaan yang lebih besar daripada taufik untuk berzikir.Orang yang sibuk dengan perniagaan, perdagangan, pertanian dan pekerjaan-pekerjaan yang lain, jika mereka melapangkan sedikit masa untuk berzikir kepada Allah S.W.T maka sudah pasti mereka akan memperolehi keuntungan tanpa perlu bersusah payah. Melapangkan masa beberapa jam daripada dua puluh empat jam pada waktu malam atau siang untuk amalan zikir ini bukanlah satu perkara yang susah. Sedangkan masa yang banyak dipergunakan untuk perbuatan yang sia-sia. Bukanlah sukar untuk melapangkan sedikit masa untuk amalan yang akan membawa keuntungan ini. Dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W bersabda, "Sebaik-baik hamba ialah yang sentiasa mengambil berat tentang peredaran bulan, matahari, bintang dan bayang-bayang bagi menentukan waktu untuk berzikir." Yakni mengambil berat untuk menjaga masa. Sungguhpun pada zaman ini manusia menggunakan jam dengan begitu meluas sekali sehingga menyebabkan pengetahuan masa menerusi bulan dan matahari itu tidak perlu lagi, namun bulan dan matahari masih diperlukan ketika jam rosak atau waktu jam itu tidak tepat agar masa yang sangat berharga itu tidak disia-siakan. Disebutkan dalam sebuah hadith bahawa jika seseorang berzikir di suatu bahagian pada permukaan bumi ini, maka bahagian bumi itu sehinggalah ke tujuh petala bumi akan berbangga ke atas bahagian bumi yang lain.